Blogger Widgets

Monday, 7 September 2015

KEPENTINGAN INDUSTRI DAN KESAN PELUPUSAN SISA TERHADAP NEGARA (SEMESTER 4)

Pendahuluan

Jika kita lihat tajuk perbincangan ini, ianya merupakan satu tajuk yang meluas dan banyak aspek boleh dibincangkan . Tetapi jika kita renung dan teliti dengan sedalam-dalamnya maka kita dapati satu perkara yang perlu diambil kira adalah pada perkataan 'memerlukan penelitian bersama' .
Berdasarkan kepada isu yang hendak dibincangkan 'memerlukan penelitian bersama' membawa maksud bahawa , isu pencemaran yang merupakan isu global ini perlu dibincangkan, difikirkan dan ditangani bersama-sama di peringkat antarabangsa . Ini adalah kerana masalah pencemaran yang berlaku di seluruh dunia ini pernah, sedang dan akan dialami oleh semua negara . Jadi langkah-langkah bijak perlu dirancangkan bagi mengatasi masalah ini .
Bagaimanakah cara kita hendak menyelesaikan masalah di atas ? Cara kita menjawab atau menyelesaikannya adalah bergantung kepada persepsi kita sendiri terhadap alam sekitar . Ia juga mendedahkan cara hidup kita; adakah cara hidup kita dapat membantu memulihara alam sekitar atau sebaliknya ?
Unit Pendidikan Persatuan Pencinta Alam atau Malaysia Nature Society (MNS) sering menerima pertanyaan tentang apakah cara-cara memulihara alam sekitar yang sepatutnya dilakukan oleh semua pihak . Tidak kurang juga yang menanyakan adakah usaha seorang individu dapat memulihara alam sedangkan masalah-masalah itu telah menjadi semakin rumit .
Jika kita meniliti punca-punca masalah alam sekitar, kita mendapati bahawa kebanyakannya disebabkan oleh permintaan manusia terhadap hasil keluaran industri . Ini membawa kepada masalah tekanan terhadap keupayaan bumi membekalkan ruang dan sumber untuk permintaan ini .
Tekanan terhadap alam sekitar terdiri daripada dua bentuk .
  • Pertamanya tekanan daripada permintaan terhadap sumber asli seperti bahan api, air dan juga tanah .
  • Keduanya, ialah sisa industri yang mencemarkan udara dan persekitaran .
Ini menyebabkan berlakunya pencemaran serius secara global seperti kesan rumah hijau, permusnahan ozon dan hujan asid .
Bila kita fikirkan mengenai pencemaran secara global ini, rasanya terlalu sukar untuk seseorang individu itu memperbaiki keadaan . Kita mungkin tertanya-tanya, apakah tindakan seorang individu itu berupaya untuk memberikan apa-apa kesan ? Namun begitu, kita harus sedar bahawa pencemaran yang serius beginilah sebenarnya berpunca daripada tindakan individu juga . Oleh yang demikian, tindakan individu jugalah yang dapat membantu menyelamatkan bumi kita ini .

Industri terpenting di Malaysia

SEKTOR PERKHIDMATAN: KAJIAN KES MALAYSIA
1.        Sektor perkhidmatan dikenali juga sebagai sektor ekonomi tertiar atau sektor ekonomi peringkat ketiga.  Sektor  ekonomi ini tidak mengeluarkan barangan, sebaliknya membekalkan perkhidmatan kepada pengguna.
2.        Antara contoh sektor perkhidmatan seperti sektor pengangkutan dan perhubungan, kewangan dan insuran, hartanah, perkhidmatan permagaan, pelancongan, hotel dan restoran, sektor utiliti elektrik, air dan gas, sektor pembinaan infrastruktur, serta perkhidmatan kerajaan dan swasta.
3.        Di Malaysia, sektor perkhidmatan dikategorikan sebagai industri tertiar dan menjadi sektor ekonomi yang kedua terpenting selepas sektor perkilangan. Sektor perkhidmatan mempunyai potensi besar untuk dimajukan sebagai sektor ekonomi utama negara pada masa hadapan. Kini industri perkhidmatan negara tumbuh dan berkembang pesat sejajar dengan perkembangan pesat industri primer dan sekunder.
INDUSTRI PELANCONGAN
Industri pelancongan muncul sebagai sektor perkhidmatan yang paling banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. Antara contoh aktiviti ekonomi yang berkaitan dengan industri pelancongan di Malaysia adalah seperti perkhidmatan hotel, resort dan chalet. perkhidmatan restoran, perkhidmatan pemandu pelancong. pengangkutan dan telekomunikasi, aktiviti riadah atau rekreasi. persidangan dan forum, pertandingan sukan dan kebudayaan. perkhidmatan utiliti elektrik,  air dan gas, serta perkhidmatan kewangan dan insurans yang melibatkan para pelancong.
1.      Pada tahun 2000, Malaysia telah menerima hampir 10.2 juta pelancong, asing. Jumlah ketibaan pelancong asing sentiasa bertambah setiap tahun. Hampir 70% pelancong asing yang datang ke negara ini adalah dari kalangan negara ASEAN manakala 30% dari Eropah, Amerika Syarikat, serta negara-negara di rantau Asia Pasifik dan Oceania seperti Jepun, Korea, Taiwan, China, Australia, dan New Zealand.
2.      Jenis-Jenis Sektor Pelancongan
a.    Eko-pelancongan – berkaitan keindahan alam semulajadi cth Port Dickson
b.    Agro-pelancongan- berkaitan kegiatan pertanian cth Cameron Highland
c.    Pelancongan kesihatan- mendapatkan rawatan pakar cth IJN
d.    Pelancongan pendidikan- melanjutkan pelajaran cth UIA
e.    Pelancongan budaya dan warisan- bandar Melaka
f.     Pelancongan MICE (persidangan, konvensyen dan pameran)
g.    Pelancongan kapal mewah- cruise
h.    Pelancongan sukan dan rekriasi- Formula One, Power Boat
INDUSTRI  PENGANGKUTAN  DAN  TELEKOMUNIKASI
1.    Industri pengangkutan dan telekomunikasi menjadi sektor perkhidmatan yang kedua penting. Industri pengangkutan melibatkan tiga bidang yang utama iaitu:
(a)      pengangkutan darat seperti lebuh raya, jalan raya, jalan kereta api, Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Sistem Komuter, Monorel dan Jalinan Transit Ekspres (ERL).
(b)      pengangkutan air melibatkan sistem pengangkutan sungai dan laut seperti perkhidmatan feri,    kapal pengangkut atau kapal dagang. bot dan sampan. Perkembangan pesat sistem pengangkutan air menyebabkan munculnya pelabuhan entreport seperti Pelabuhan Klang, Pelabuhan Pulau Pinang, Pelabuhan Tanjung Gelang, dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.
(c)      pengangkutan udara melibatkan kapal terbang dan helikopter. Kewujudan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Lapangan Terbang Senai, dan Lapangan Terbang Kuching membuktikan sistem pengangkutan udara di Malaysia juga mengalami perkembangan yang pesat. Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan Air Asia merupakan syarikat pengangkutan udara yang mendominasi industri penerbangan Malaysia pada masa kini.
2.    Dalam bidang telekomunikasi pula, melibatkan penggunaan telefon dan telefon bimbit, faksimili, kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), internet dan intranet, dan sebagainya yang menyebabkan penyebaran maklumat, inovasi, aliran keluar masuk modal, urusan perniagaan, dan penerokaan pasaran menjadi lebih mudah dan cepat.
3.    Konsep e-dagang merupakan bidang komunikasi perdagangan global masa kini yang mesti dikuasai oleh Malaysia. Justeru, kerajaan telah menjayakan perlaksanaan Koridor Raya Multimedia (MSC) sebagai usaha menjana dan mempercepatkan pembangunan ICT negara. 
Sumbangan Industri kepada Kemajuan Malaysia

Penggubalan dasar perindustrian di Malaysia adalah lebih menjurus ke arah untuk meningkatkan sumbangan dan prestasi sektor perindustrian negara. Memetik kata-kata daripada mantan Perdana Menteri Ke-4, Tun Mahathir Mohamed, 1989 yang berbunyi, "usaha-usaha untuk menjadikan sektor perindustiran, terutamanya sektor pembuatan punca utama pertumbuhan ekonomi negara berjalan dengan lancar. Sektor perindustrian bagi sektor pembuatan akan menjadi tulang belakang ekonomi negara pada masa hadapan, kerajaan akan membuat pengubahsuaian segala dasar dan strategi serta berusaha memperluaskan asas perindustrian dalam sektor pembuatan".  Nah,  Sudah terang lagi bersuluh,Malaysia telah melalui proses penekanan ketara dalam meningkatkan tahap industri negara sejak awal tahun 80-an lagi.  Kehadiran mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed dalam mentadbir negara bermula pada tahun 1981 sehingga 2003 telah menyinarkan cahaya keilmuan yang hampir padam.  Pada Februari 1991, beliau telah mengemukakan ‘Wawasan 2020’ sebagai matlamat jangka masa panjang untuk menjadikan negara Malaysia sebagai negara yang membangun dan mempunyai nilai kualiti tinggi.  Pendekatan ini telah mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.  Menurut beliau lagi, matlamat kesembilan daripada Wawasan 2020  ini semestinya menjadi keutamaan masyarakat Malaysia untuk tiga dekad yang akan datang.  Seiring dengan dasar tersebut, melalui agenda sektor  perindustrian sudah pasti aspirasi negara maju menjelang 2020 akan dapat direalisasikan.  Malahan, peranan sektor perindustian tidak perlu lagi dipertikaikan kerana banyak membawa kebaikan sama ada kepada rakyat mahupun negara.
Sebagai pembuka kata dan bicara , kebaikan yang dibawa oleh sektor perindustrian terhadap negara ialah dasar ini menyebabkan negara kita mampu mengurangkan import terutama barangan tertentu.  Sebagai bukti, import pada bulan Oktober 2009 menurun sebanyak 2.3% berbanding September 2008 disebabkan kemerosotan import barang pengantara sebanyak 10%  terutamanya barangan elektrik dan elektronik (E&E) sebanyak 8.5% dan produk besi dan keluli sebanyak 28%.    Pengurangan import ini berupaya dilakukan kerana sektor perindustrian negara telah berjaya menghasilkan produk yang sama terutama barangan elektrik dan elektronik pada harga yang lebih murah.  Selain itu, kalau dahulu negara kita pada era 70-an terpaksa mengimport kereta dari negara Jepun atau negara barat tetapi kini  keadaannya amat berbeza sekali seperti langit dengan bumi kerana negara kita sekarang sudah mampu berdiri di atas kaki sendiri dalam menghasilkan kereta buatan sendiri iaitu Proton mahupun Perodua.  Situasi ini turut memberikan kesan terhadap kadar imbangan perdagangan luar  negara kerana kurang wang yang mengalir ke luar negara untuk membayar barangan yang diimport. Lantas, wang tersebut mampu digunakan untuk pembangunan sektor-sektor lain.  Jadi, sumber kewangan negara yang berlebihan itu dapat digunakan untuk meninggikan taraf hidup rakyat.  Tegasnya, kemajuan dalam sektor perindustrian berjaya mengurangkan import negara yang dulunya negara kita terlalu bergantung kepada barangan import tersebut.

Ekoran daripada pengurangan import negara terhadap barangan tertentu, memang tidak dapat disangkal lagi bahawa sektor perindustrian juga dapat meningkatkan permintaan terhadap bahan mentah di negara ini. Pertumbuhan pesat dalam sektor perkilangan sudah tentu membawa peningkatan dalam permintaan terhadap bahan mentah umpama cendawan tumbuh selepas hujan.  Seterusnya, menjadi antara intipati perindustrian untuk menghasilkan pelbagai produk mengikut permintaan masyarakat di seantero dunia.  Sebagai analogi yang sudah diketahui umum, negara kita pernah ditakluki oleh kuasa asing untuk menguasai sumber bahan mentah negara kerana harganya yang tinggi dan permintaannya meluas dalam pasaran antarabangsa.  Berdasarkan perangkaan terkini, sumber bahan mentah seperti getah, petroleum dan kelapa sawit masih mempunyai pasaran yang meluas di peringkat globalisasi.  Berdasarkan Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia pada tahun 2012, didapati pengeluaran minyak kelapa sawit meningkat  sebanyak 7.9% kepada RM4.5 bilion. Keadaan ini tentunya menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara kerana negara mengeksport sumber-sumber ini ke luar negara. Di samping itu, sumber bahan mentah seperti petroleum diperlukan dalam proses pengetinan makanan dan minyak petrol bagi sektor perindustrian di negara kita.  Malahan, minyak masak dan sabun yang dihasilkan turut menggunakan  kelapa sawit sebagai sumber bahan mentah.  Secara tidak langsung, harga komoditi negara sudah  pasti meningkat dengan mendadak dan memberi keuntungan  kepada negara.  Izharlah, kepesatan dalam sektor perindustrian sudah ketara dapat meningkatkan permintaan terhadap sumber bahan mentah negara.
Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah sektor perindustrian memberikan kebaikan kepada rakyat dari segipeluang pekerjaan yang luas.  Kilang-kilang yang dibina di kawasan pedalaman mampu membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.  Contoh pekerjaan yang biasa ditawarkan kepada penduduk berdekatan seperti operator kilang, jurutera kilang, pengurus kilang dan sebagainya.  Peluang pekerjaan yang ditawarkan ini seharusnya dimanfaatkan oleh rakyat bagi menampung keperluan hidup mereka.  Sektor perindustrian mampu menawarkan pelbagai peluang pekerjaan yang luas dari pelbagai peringkat. Antaranya ialah peringkat pengeluaran, pemprosesan, pemasangan, pembungkusan, pemasaran.  Pada tahun 2001 sahaja, seramai 2.2 juta rakyat terlibat dalam sektor perindustrian iaitu bersamaan 22%  daripada jumlah tenaga kerja yang terdapat di Malaysia.  Fenomena ini sudah pasti dapat mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat.  Sesungguhnya, sektor perindustrian mampu menawarkan peluang pekerjaan yang luas kepada rakyat khususnya dalam bidang perkilangan. 

Pada realitinya,  kepesatan dalam sektor perindustrian juga telah berjaya meningkatkan taraf hidup rakyat.   Peningkatan taraf hidup ini juga dapat dikaitkan dengan terhasilnya kemudahan-kemudahan seperti pendidikan, kesihatan, dan pengangkutan yang bertaraf tinggi kepada rakyat.  Semua kemudahan ini dinikmati oleh rakyat negara kita tanpa perlu membayar kos yang lebih mahal.  Kemudahan ini turut memudahkan rakyat untuk menjalani kehidupan seharian mereka.  Hal ini kerana upah atau gaji hasil daripada titik peluh sendiri dapat menjamin masa depan diri dan keluarga. Daripada realiti ini, dapat kita katakan bahawa masyarakat yang hidup susah, kini dapat meningkatkan taraf hidup diri dan keluarga mereka. Bertitik tolak daripada itu, kita akui bahawa kemajuan sektor perindustrian yang pesat ini telah memberikan pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat.   Taraf hidup rakyat juga sebenarnya dapat diukur melalui pendapatan per kapita sesebuah negara.  Situasi ini dapat dibuktikan berdasarkan data World Development Indicators oleh Bank Dunia pada 1 Julai 2009, Malaysia berada pada kedudukan ke-79 dengan pendapatan per kapita sebesar US$ 13.740 per tahun.  Sedangkan, Indonesia berada pada kedudukan ke-146 dengan pendapatan per kapita sebesar US$ 3.830 per tahun.  Berdasarkan perangkaan ini, taraf hidup rakyat negara kita jauh lebih baik daripada Indonesia secara perbandingannya 3.5 kali ganda.  Jelaslah bahawa semua ini terhasil daripada perkembangan yang pesat dalam sektor perindustrian di Malaysia.

Intihanya, sektor perindustrian mampu membawa pelbagai impak positif kepada rakyat dan negara ini.  Cuma dalam keghairahan kita menempa kejayaan dalam bidang ini, semua pihak harus menyedari impak negatif yang turut mampu terhasil akibat mengutamakan sektor ini.  Mungkin kita harus merenung secara mendalam penekanan kita dalam bidang ini sebelum impak yang buruk menjadi ketara menjelang alaf mendatang.  Sebelum nasi menjadi bubur, sebelum retak menjadi parah, kepentingan sektor pertanian di negara kita juga tidak seharusnya dipandang sebelah mata.  Hal ini disebabkan hasil pertanian merupakan sumber  bekalan makanan kepada rakyat ini.  Oleh itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sewajarnya bekerjasama bagai aur dengan tebing dan menggembleng tenaga untuk memajukan sektor pertanian dan perindustrian di negara kita.  Hal ini kerana sektor pertanian dan perindustrian di negara kita perlu bergerak seiring, bahu-membahu, lengkap-melengkapi  bak seni kata lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee bagai irama dan lagu yang tidak boleh dipisahkan. Dalam erti kata yang lain, sektor perindustrian tidak boleh dipisahkan dengan sektor perindustrian.  Selari dengan itu, Malaysia berupaya menjadi sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang serta dapat berdiri megah dengan negara-negara maju yang lain umpama duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.
Punca Pencemaran Industri

Kemusnahan alam sekitar diakibatkan oleh pelbagai pihak. Sektor perindustrian dan sektor pertanian yang merupakan sektor terpenting di negara kita turut menyumbang dalam kemusnahan alam sekitar. Selain itu, punca-punca lain adalah penggunaan baja kimia dan secara berlebihan, penebangan pokok-pokok secara berleluasa, pembakaran terbuka, pembebasan gas-gas kimia, pengeluaran dan pembuangan sisa-sisa toksik. 
Sumber pencemar daripada kawasan perindustrian ialah :-
·         Pembuangan sisa kilang
·         Pencemar dari penjana elektrik
·         Sumber pencemar dari bahan pertanian
·         Racun perosak


Pembuangan sisa kilang melalui kegiatan pihak pengusaha kilang yang suka membuang sisa kilang ke dalam sungai seperti logam yang berbahaya contohnya zink, timah hitam dan raksa membahayakan hidupan akuatik.Pembuangan bahan sisa yang membahayakan ini boleh memusnahkan kawasan habitat hidupan akuatik dan boleh memudaratkan kesihatan manusia yang menggunakan air atau memakan hidupan air yang telah dicemari. 

Sumber pencemar dari penjana kuasa elektrik haba yang banyak menggunakan air untuk proses penyejukan. Air yang panas akan dibuang ke dalam sungai menyebabkan air di sekitar kawasan pembuangan airpanas tadi turut menjadi panas. Air yang panas ini akan menganggu ekologi hidupan akuatik dalam sungai. Kesan pemanasan air secara ini disifatkan sebagai pencemaran terma. Salah satu kesan langsung daripada pencemaran terma ialah kematian ikan kerana kekurangan oksigen akibat daripada perubahan suhu air di kawasan itu secara mendadak. Terdapat juga hidupan yang terpaksa beradaptasi terhadap perubahan suhu ini dan akan terus tinggal di kawasan ini manakala haiwan yang tidak dapat menyesuaikan keadaan ini akan berpindah ke kawasan lain. Manakala haiwan yang tidak dapat bergerak dengan pantas dan tidak dapat menyesuaikan keadaan ini akan mati.

Sumber pencemaran yang seterusnya adalah daripada sumber pencemar dari bahan pertanian seperti baja dan pembaik tanah yang digunakan untukaktiviti pertanian. Aktiviti ini biasanya mengggunakan baja untuk menyuburkan tanaman dan mendapatkan hasil tanaman yang banyak. Baja utama yang selalu digunakan dalam pertanian adalah sebatian nitrogen, fosforus dan kalium. Baja fosforus dan kalium diserap dengan mudahnya pada zarah tanih dan jarang menjadi masalah pencemar. Tetapi nitrogen di dalam larutan hanya sebahagiannya sahaja digunakan oleh tumbuh-tumbuhan atau diserap oleh tanih dan baja nitrogen ini merupakan bahan pencemar utama kepada kawasan sungai.

Selain itu pembaik tanih digunakan untuk tanah yang dialirkan untuk mengubah sifat fizik atau sifat kimia tanih. 
Untuk tujuan ini kapur, gipsum dan sulfur digunakan dengan meluasnya. Sejumlah besar pembaik tanih ini akan melarut lesap akhirnya ke air tanah dan apabila berlakunya hujan, bahan-bahan ini akan dihanyutkan oleh air ke dalam sungai. Justeru itu, sumber pencemar ini akan mengurangkan air bersih di kawasan Sungai Melaka.

Racun perosak juga merupakan bahan pencemar yang menjadi bahan penting di kawasan pertanian sebagai punca resapan untuk pencemaran air. Kehadiran bahan ini di dalam sungai walaupun dalam kepekatan yang kecil, boleh mendatangkan akibat yang serius dalam hubungannya kepada kebolehan air untuk diminum. Kebanyakan racun perosak secara relatifnya tak larut di dalam air, sementaranya yang lainnya mudah diserap oleh zarah tanih atau terdedah kepada penyahgredan mikrob. Racun yang berada di kawasan Sungai Melaka ini juga telah menyebabkan banyak hidupan akuatik telah mati akibat terdedah dengan racun perosak ini.

Kesan Pencemaran kepada Alam Sekitar dan Manusia

  • Mengancam Kesihatan Manusia
Akibat daripada pencemaran alam sekitar, kesihatan manusia turut terjejas . Di negara kita misalnya penggunaan kereta masa kini telah bertambah dengan begitu pesat berbanding tahun 1950an dan 1960an dahulu . Malangnya kecanggihan teknologi pembuatan kenderaan bermotor telah menimbulkan banyak masalah misalnya pencemaran udara, pencemaran bunyi, kerosakan alam dan hidupan semulajadi .
Pengeluaran gas monoksida iaitu sejenis gas beracun yang boleh membunuh sekiranya terkumpul dalam kawasan yang tertutup . Sejenis lagi unsur yang boleh terhasil melalui penggunaan kenderaan bermotor ialah plumbum iaitu sejenis bahan kimia yang sangat beracun dan boleh menyebabkan kerosakan otak terutamanya di kalangan kanak-kanak .
Selain dari itu seperti yang berlaku di Teluk Minamata, Jepun, pencemaran toksid yang masuk ke dalam air menyebabkan simptom kebas-kebas, sakit kepala, kabur penglihatan dan penuturan yang tidak betul . Sesetengahnya berakhir dengan kelumpuhan dan ada yang menemui maut . Simptom yang disebabkan oleh keracunan raksa ini telah membabitkan beratus-ratus keluarga nelayan . Ia dikenali sebagai penyakit Minamata .
  • Mengancam tumbuhan dan binatang
Kesan daripada pencemaran yang berlaku bukan sahaja dialami oleh manusia bahkan turut memberi kesan kepada hidupan yang lain . Antara kesan pencemaran yang banyak membunuh organisma laut di perairan cetek ialah kesan daripada tumpahan minyak ke laut . Apabila tumpahan minyak berlaku dengan banyak berhampiran persisiran pantai ia membentuk lapisan minyak yang mengancam kehidupan laut serta burung . Tumpuhan tersebut juga turut menjejaskan tumbesaran dan kesuburan plankton .
Antara kesan yang dianggap kronik ialah anomalia, iaitu pembesaran tubuh dan tingkahlaku yang tidak normal, serta kurang daya ketahanan badan kepada penggunaan sumber air tersebut .
Sebagai contoh yang lain kesan daripada keracun raksa, kejadian yang aneh berlaku di Teluk Minamata, Jepun, yang mana burung-burung yang sedang terbang tiba-tiba menjunam dari angkasa . Kucing berjalan terhoyong-hayang dengan mulut yang berbuih, kemudian berlari tidak menentu lalu mati .
Kapal Showa Maru yang menumpahkan 7700 tan minyak di kepulauan Riau dalam tahun 1975, menjejaskan beratus-ratus hektar tanaman tropika di perairan Indonesia . Walaupun selepas empat tahun kejadian tersebut berlaku, kesan saki-baki minyak masih kelihatan dan telah memusnahkan ekosistem laut di Asia Tenggara yang terkenal sebagai akuakultur .
  • Kerosakan Harta Benda
Pencemaran yang disebabkan oleh faktor semulajadi seperti letusan gunung berapi, ribut taufan, gempa bumi dan sebagainya, banyak memberi kesan kepada kerosakan harta benda . Sebagai contoh kejadian letusan gunung berapi yang berlaku di Indonesia iaitu Gunung Merapi telah menyebabkan berlakunya kerosakan harta benda . Ini disebabkan oleh lahar panas yang dikeluarkan oleh gunung tersebut . Antara kerosakan harta benda yang berlaku ialah kemusnahan kediaman penduduk dan kemudahan infrastruktur di kawasan yang terlibat .





Kaedah Mengawal Pelupusan Sisa Industri

Langkah-langkah untuk mengatasi masalah pencemaran ini terbahagi kepada 4 bahagian utama iaitu
 peringkat antarabangsa, pemerintah,organisasi dan individu. Pada peringkat antarabangsa, pertubuhan-pertubuhan seperti WHO ( Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dan Greenpeacetelah ditubuhkan. Kedua-dua pertubuhan ini bertindak sebagai pengawas pencemaran. WHO memainkan peranan penting dalam mengawal pencemaran dan berhak menetapkan peraturan mengenai alam sekitar. Greenpeace pula memberi maklumat kepada orang ramai mengenai pencemaran yang terjadi di dunia dan menunjuk perasaan jika berlaku sesuatau pencemaran alam.


Pihak pemerintah dalam negeri perlu membantu bagi mengatasi masalah ini, misalnya Singapura, telah mengadakan berbagai undang-undang dan acara untuk meningkatkan lagi mutu alam sekitar. Undang-undang seperti sesiapa yang membuang sampah merata-rata akan dikenakan denda dan kehendaki membersihkan kawasan dengan diawasi oleh pegawai yang bertugas. Industri-industri yang membuang sampah atau kimia sewenang-wenangnya akan disaman.

Organisasi-organisasi seperti sekolah, balai rakyat, kelab remaja dan syarikat boleh menyumbang kepada kebersihan alam sekitar. Pendidik harus menanamkan sikap prihatin kepada alam sekitar melalui pendidikan moral bagi memupuk sifat tanggungjawab terhadap alam sekitar. Balai rakyat pula boleh mangadakan pertandingan pada blok, kedai makan dan kawasan kejiranan yang terbersih. Kelab remaja booleh mengadakan himpunan untuk mengumpul suratkhabar dari rumah ke rumah dan juga memungut sampah di tepi pantai sambil beriadah. Syarikat harus mempunyai sikap tanggungjawab dalam pembuangan sampah.

Sebagai seorang individu, kita hendaklah bijak memainkan peranan sendiri. Tiga sikap yang harus diamalkan adalah menggunakan semula barang-barang yang boleh digunakan semula menggunakan barang-barang yang dibuat dari barang-barang yang diproses semula dan mengurangkan penggunaan barang-barang yang tidak diperlukan . Sikap-sikap sebegini dapat mengurangkan pencemaran pada alam sekitar. Tidak lupa, sikap kesedaran pada diri sendiri harus ada untuk mengelakkan dari dunia terus dicemar.




Penutup
Kita sudah tentulah merasa jijik dan tidak selesa jika rumah kita berada dalam keadaan berasap, kotor dan busuk. Konsep ini harus diperkembangkan dengan menganggapkan bumi ini sebagai rumah kita. Jika kita menganggapkan bumi ini sebagai rumah kita sendiri, sanggupkah kita mengotorinya?
Bumi adalah satu-satunya planet yang membolehkan kita dan hidupan lainnya hidup bebas. Bukankah alasan ini sudah cukup untuk kita membelainya dengan perasaan penuh timbang rasa dan kasih sayang? Perasaan hormat harus diberikan kepada semua bentuk hidupan dan persekitaran yang menjadi jiran tetangga kita. Segala tindakan manusia mempunyai kesan yang mendalam terhadap alam sekitar. Perasaan hormat terhadap hidupan lain bermakna menghormati diri kita sendiri. Menjaga kesejahteraan alam sekitar supaya tidak tercemar bermakna menghormati keperluan kita untuk mendapatkan udara dan bekalan air yang bersih.
Secara globalnya masalah pencemaran laut merupakan di antara agenda terpenting yang harus dihadapi oleh negara-negara berpantai. Walaupun pelbagai masalah yang timbul dalam penguatkuasaan pencemaran disektor marin, namun ia tetap dijalankan oleh agensi-agensi maritim yang dipertanggungjawabkan dalam menangani masalah ini. Kerjasama ini bukan hanya terletak pada agensi-agensi yang terbabit tetapi orang-orang awam juga boleh berkerjasama dengan melaporkan segera sebarang kejadian pencemaran laut yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Kerjasama yang padu di antara agensi-agensi maritim dengan pihak-pihak swasta bagi menaja operasi pembersihan anasir pencemaran di laut amatlah dialu-alukan. Masalah pencemaran laut tidak akan dapat diselesaikan sekiranya tiada kesedaran dalam diri manusia sendiri tentang peri pentingnya alam sekitar kepada manusia. Selain daripada itu, undang-undang yang tertakluk juga harus dikuatkuasakan bagi menjamin masalah yang sama tidak akan berulang lagi.
Penglibatan JAS dalam melaksanakan tanggungjawabnya hanya akan tercapai dengan kerjasama dan kefahaman masyarakat umum akan betapa pentingnya penjagaan alam sekitar. Alam sekitar yang bersih dan terlindung mencerminkan masyarakat yang harmonis dan sihat bagi menerajui pembangunan sains dan teknologi negara.
Alam semulajadi mengetahui sesuatu yang terbaik untuknya. Sekiranya kita mencurahkan bahan kimia ke dalam sesuatu organisma, ianya tampak seolah-olah kita melemparkan sekarung nat untuk skru dan pasak ke dalam peralatan jentera "delicate" yang pernah diciptakan.


3 comments: